Tuesday 29 November 2011

Jenis - Jenis Syirik

    
 Syeikh Sulaiman bin Abdullah telah membahagikan syirik itu kepada empat bahagian iaitu Syirik Rububiyyah, Syirik Asma’, Syirik Sifat dan Syirik Ubudiyyah.

     Bentuk Syirik Rububiyyah ialah mempersekutukan Allah dalam pentadbiran alam ini iaitu, Pertama – Menafikan Allah sebagai pentadbir alam ini sebagaimana ucapan yang dilafazkan oleh firaun yang termaktub di dalan Al-Quran yang bermaksud:” (Firaun berkata) akulah tuhan kamu yang tertinggi”. Surah An-Nazi’aat ayat 24. Kedua – Mengiktiraf adanya kuasa selain Allah yang mengurus alam ini.

     Manakala Syirik Asma’ dan Sifat iaitu menyamakan sifat-sifat Allah dengan sesuatu yang lain, sama ada dalam bentuk tindakan atau percakapan. Ia juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu, Pertama – Menyamakan Allah dengan makhluk seperti pendapat yang mengatakan tangan Allah seperti tangan makhluk, pandangan dan pendengaran Allah sama seperti pendengaran manusia sedangkan Allah bersifat sempurna sebagaimana firmannya yang bermaksud: “Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengannya”. Kedua – Menyatakan sifat Allah S.w.t. kurang atau lemah yang nyata bertentangan dengan sifat Allah s.w.t., Yang Lengkap lagi Maha Tinggi.


kubur
      Syirik Ubudiyyah iaitu syirik dari segi penyembahan yang banyak berlaku dalam masyarakat kita sama ada disedari atau tidak iaitu: Pertama – Menyembah selain Allah. Meminta dan bergantung harap kepada selainnya seperti meminta sesuatu kepada pokok, busut, kubur keramat, pantai dan lain-lain lagi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan sesuatu pun denganNya”. Surah An-Nisa’ : Ayat 36.

     Kedua – Beribadat dengan tidak ikhklas (riak). Ia beribadat mungkin kerana kepentingan diri, mencari nama, pangkat, pengaruh dan sebagainya. Ia juga disebut sebagai syirik kecil. Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah dan Al-Hakim, seorang sahabat bernama Syaddadi bin Aus telah menemui Rasulullah s.a.w. pada suatu malam dan mendapati baginda sedang menangis, lalu ia pun bertanya :” Kenapa Rasulullah s.a.w. menangis?,. Baginda menjawab:” Aku takut umatku ditimpa syirik walhal mereka bukan menyembah berhala, tidak pula menyembah bulan dan matahari atau batu, hanya kerana mereka berlaku riak dalam mengerjakan amalan”.
.
    Menurut Dr Yusuf Al-Qardawi, syirik terdiri dari dua jenis, dikenali dengan syirik akbar dan syirik asghar. Syirik Akbar ialah syirik yang tidak diampunkan oleh Allah dan pelakunya tidak akan dimasukkan sama sekali ke syurga. Manakala Syirik Asghar pula adalah di antara dosa-dosa besar yang dikhuatiri orang yang melakukannya dan yang berterusan melakukannya akan membawa kepada mati di dalam keadaan kafir jika Allah tidak memberi pertolongan dengan rahmat-Nya sekiranya dia tidak bertaubat sebelum mati.

0 comments:

Post a Comment